Thursday, June 28, 2012

KONSEP-KONSEP PENTING DALAM TAMADUN CINA

Penjelasan konsep-konsep ini akan menjadi asas kepada perbincangan dan pembinaan hujah-hujah mengenai tamadun dan falsafah Cina.Konsep-konsep ini penting bagi memahami world-view Tamadun Cina.

1. T'ien
Selalunya digunakan untuk menunjukkan langit (Heaven). Walaupun demikian, sejak zaman awal dalam sejarah negeri China , T'ien juga digunakan untuk menunjukkan dewa terpenting atau dewa utama dalam kepercayaan Cina. Oleh itu, dewa yang terpenting dealam kepercayaan orang-orang Cina (T'ien) juga disamakan dengan langit. Selain daripada itu, T'ien mempunyai satu dimensi moral dalam kepercayaan orang-orang Cina.

2. Dao atau Tao
Konsep Dao mempunyai pelbagai maksud. Maksud terawal menunjuk kepada "jalan"atau "lorong". Sebelum kedatangan falsafah Konfusius , Dao digunakan untuk menunjukkan satu "jalan"ataupun suatu cara kelakuan atau tabiat sama ada tabiat baik ataupun buruk. Selepas kedatangan Konfusius, orang-orang yang mengikut fahaman Daoisme(berasal dari perkataan Dao) menggunakan konsep Dao dengan suatu maksud metafizik untuk menunjukkan kepada keseluruhan alam semesta .
Konsep Dao menurut Konfusius Sebagai satu konsep tatatertib moral yang mesti dipatuhi oleh seseorang individu, atau suatu set peraturan-peraturan etika yang harus diikuti oleh seorang individu. Ia juga menunjukkan kepada suatu corak atau jenis pentadbiran yang dapat menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat dengan cara yang paling baik.
Konsep Dao menurut fahaman Daoisme. Menurut ahli falsafah Daoisme, dao bermaksud metafizik. Ini bermaksud jika terdapat suatu proses kewujudan,maka hendaklah terdapat suatu punca utama yang meluas dan ini dipanggil Dao. Seperti First Cause yang terdapat dalam kepercayaan Kristian.

3. Konsep Yin & Yang.
Pemikir-pemikir Cina mempercayai bahawa perkara-perkara yang berlaku atau wujud di dalam alam ini akibat dari interaksi antara dua kuasa yang berlawanan iaitu Yin & Yang.Yin mewakili perempuan, keadaan pasif, sejuk, gelap, basah, lembut dan lain-lain. Yang pula mewakili lelaki, aktif, panas, cerah, kering, keras dan lain-lain. Yin & Yang merupakan dua kuasa yang saling bertindak di dalam alam semesta ini. Dalam bentuk fizikal, Yang merupakan langit dan Yin adalah bumi.

4. Konsep "The Golden Mean" atau ChungIa merupakan sesuatu yang paling sesuai, paling tepat atau terbaik dalam sesuatu keadaan. Oleh itu Chung boleh menunjukkan jarak yang ideal dalam sesuatu keadaan, masa yang paling ideal dalam sesuatu keadaan, wajah atau rupa seseorang yang paling ideal dan lain-lain.

5. Konsep The Grand Unity atau Ta T'ung.Menurut Kang Yu Wei dalam bukunya Ta T'ung Shu(Book of Great Unity atau Ta T'ung) menyatakan: Ianya satu prinsip yang menumpukan perhatian kepada cara mengelakkan kesakitan dan penderitaan dan cara mendapatkan keseronokan secara maksima kepada jumlah manusia yang maksima.

Kesemua agama dan konsep-konsep penting dalam Tamadun Cina mengajar sistem moral dan ianya adalah penting dalam kehidupan. Manakala "ajaran-ajaran tuhan " adalah satu cara untuk memberi hukuman. Itulah asas utama konsep agama yang ada pada masyarakat Cina. Oleh itu, jelaslah pandangan semesta orang-orang Cina adalah mengutamakan kehidupan duniawi daripada kehidupan selepas mati.

RUJUKAN 1. Lok Chong Hoe, Tamadun Cina, Falsafah, Pandangan Hidup dan Aspek-aspek Kesenian, Pulau Pinang, USM, 1998.

No comments:

Post a Comment